Empat cedera bas rempuh plaza tol

Keadaan bas remuk selepas merempuh penghadang Plaza Tol Ipoh Utara dekat Jelapang pada Isnin.
Keadaan bas remuk selepas merempuh penghadang Plaza Tol Ipoh Utara dekat Jelapang pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Empat penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas kenderaan itu merempuh penghadang Plaza Tol Ipoh Utara dekat Jelapang di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 3.08 petang itu berlaku, ketika bas membawa 16 penumpang terbabit dalam perjalanan dari arah utara melalui Lebuhraya Utara Selatan ke Terminal Meru Raya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat awal memaklumkan terdapat 16 penumpang dengan 10 daripadanya wanita.

Menurutnya, rempuhan di bahagian penghadang tol itu mengakibatkan empat daripada mereka mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, anggota bomba telah membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan semua mangsa terlibat berada dalam keadaan selamat.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.18 petang," katanya.