JPNK buka kertas siasatan dakwaan kes ceroboh balak di HSK Nenggiri

Abdul Khalim Abu Samah
Abdul Khalim Abu Samah
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku kes pencerobohan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, pihaknya telah melantik pegawai penyiasat sehari selepas kejadian berkenaan ditularkan di media sosial.

Katanya, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum memperoleh laporan lengkap memandangkan siasatan masih berlangsung dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi.

"Saya tidak dapat memberi ulasan lebih lanjut kerana khuatir ia akan mengganggu proses siasatan. Namun, sehari selepas kejadian berkenaan tular di media sosial baru-baru ini, kita telah membuka kertas siasatan untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

"Malah, setakat ini kayu-kayu balak di kawasan berkenaan juga telah disita untuk siasatan lanjut, selain pihak kami turut mengeluarkan waran memberhentikan kerja kepada dua pemilik lesen yang melakukan aktiviti itu,” katanya pada Majlis Pembukaan Seminar Ekspedisi Sainstifik Pergunungan Lojing Negeri Kelantan Tahun 2022, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan oleh pengawas hutan berhubung kes pencerobohan yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri, Gua Musang pada 2 Jun lepas.

Beliau berkata, ada pihak tertentu yang membuat permohonan permit untuk memasuki kawasan berkenaan selepas itu, namun ia ditolak kerana khuatir akan menjejaskan siasatan.

"Kita tolak permohonan itu bukan sebab mahu sembunyikan apa-apa tapi biarlah kita beri peluang kepada pegawai penyiasat menjalankan siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalim berkata, video tular mengenai kejadian air deras di kawasan pinggiran Sungai Brooke, Lojing di Gua Musang pada 16 Jun lepas, berlaku disebabkan pembukaan kebun sayur dan bukan akibat aktiviti pembalakan.

"Aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di Lojing sejak 2008. Malah, kejadian itu berlaku di luar kawasan HSK dan berada di luar kawalan kita. Pekara ini sedang disiasat pegawai kami pada 17 Jun lepas. Laporannya sudah ada dan ia akan dihantar kepada Menteri Besar Kelantan dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama