Kes pukul Exco Pulau Pinang tidak bermotifkan politik

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Kejadian pukul membabitkanExco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berlaku secara tiba-tiba dan tidak bermotifkan politik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian pada malam Jumaat itu, insiden itu berlaku secara tiba-tiba dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

"Ia berlaku di parkir di hadapan sebuah restoran di Tanjung Bungah dan siasatan mendapati, mangsa dan suspek tidak mengenali antara satu sama lain. Ketika kejadian, mangsa dan suspek bersama keluarga masing-masing.

"Kejadian juga didapati tidak mengandungi unsur dendam dan tidak bermotifkan politik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, suspek yang merupakan warga asing berusia 60 tahun itu telah direman dua hari dan dibebaskan pada Ahad.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Jagdeep, 51 mengalami kecederaan pada pergelangan kaki selepas dia dikatakan terjatuh dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu.

Difahamkan ketika berada di kedai terbabit, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat didatangi seorang lelaki warga asing dan menolak mangsa sehingga jatuh menyebabkan patah pada pergelangan kaki mangsa.

Berikutan kecederaan dialami, Jagdeep kini dirawat di sebuah hospital swasta dan berada dalam keadaan stabil.