Mayat remaja lemas ditemukan terapung di Sungai Moyog

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Moyog, Penampang sebelum dibawa naik ke darat oleh pasukan bomba.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Moyog, Penampang sebelum dibawa naik ke darat oleh pasukan bomba.
A
A
A

PENAMPANG - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lemas yang memasuki hari ketiga berakhir dengan penemuan mangsa kedua di Sungai Moyog Penampang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mayat Tomansi Olaf, 17, ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan bomba dan orang awam yang turut terlibat dalam SAR itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, operasi itu melibatkan pelbagai unit bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 dengan menggunakan anjing pengesan.

"Operasi SAR dimulakan pada jam 9 pagi tadi dan pencarian dilakukan di sekitar pesisir sungai menggunakan bot bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.

"Mangsa kemudian ditemukan di Sungai Moyog pada jam 11.04 pagi iaitu kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua pasukan bomba.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, dengan penemuan kedua-dua mangsa lemas termasuk Harold Walter, 17, pada Ahad menamatkan operasi SAR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, dua remaja dikhuatiri lemas manakala empat lagi rakan mereka yang terperangkap ketika melakukan aktiviti mandi sungai di Kampung Pogunon berjaya diselamatkan pasukan bomba pada Sabtu lalu.