FAM akan ikut kemahuan Pan-gon

Kim Pan-gon - Foto FAM
Kim Pan-gon - Foto FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya serius untuk mempersiapkan pasukan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 apabila pihak tersebut dilihat mahu menuruti segala kemahuan jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon bagi membentuk pasukan yang mantap.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya berpuas hati dengan penjelasan diberikan pengendali dari Korea Selatan selain berjaya membuktikan kewibawaannya ketika bersama pasukan kebangsaan ketika ini.

"Apabila jurulatih itu mahukan sesuatu, dia kena tunjukkan kerja mereka terlebih dahulu. Jadi saya berpuas hati dengan penjelasan dan justifikasi yang diberikan (Pan-gon).

"Cabaran yang dihadapi FAM ketika ini adalah dari segi kewangan dan perbelanjaan, namun saya fikir permintaannya pun tidak sesukar mana kerana ia memang sepatutnya dibuat antaranya perkara seperti peralatan, tempoh masa dan sebagainya.

"Sama juga seperti sebelum ini cuma dia memanfaatkan sebaik mungkin. Kalau dia minta tetapi tidak dimanfaatkan pun, benda ini tak boleh sampai (kepada pemain)," katanya.

Untuk rekod, skuad kebangsaan menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit selepas muncul antara lima naib juara terbaik sekali gus menyertai tiga lagi negara Asean iaitu Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Dalam pada itu Hamidin turut menjelaskan, pendekatan digunakan oleh Pan-gon kepada barisan pemain kebangsaan tidaklah susah seperti seperti disangka oleh penyokong bola sepak tempatan.

Malah katanya, pemain-pemain Malaysia juga dilihat tidak mempunyai masalah untuk menuruti segala arahan yang ditetapkan oleh bekas pengendali Hong Kong itu.

"Saya tidak perlu dedahkan tetapi cukup saya bagi contoh di mana apabila saya tanya pemain mengenai perbezaan dilakukan Pan-gon jika dibandingkan dengan cara yang digunakan jurulatih asing, mereka kata cepat, tepat dan mudah.

"Saya ingat rumit tetapi apa yang saya nampak adalah untuk berjaya, 50 peratus kejayaan kena datang dari dalam padang dan 50 peratus lagi di luar padang," katanya.