Beri ruang pertimbang parti tempatan lain sertai GRS: Hajiji

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Koko Sabah 2022, di Kota Kinabalu.
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Koko Sabah 2022, di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor meminta ruang kepada semua pihak untuk gabungan itu mempertimbangkan permohonan beberapa parti tempatan yang ingin menyertai gabungan itu.

Katanya, GRS mempunyai perancangan tersendiri dan tidak terburu-buru menerima kemasukan parti lain.

"Kita mempunyai perancangan di dalam GRS, apa yang kita lakukan Insya-ALLAH untuk kebaikan negeri Sabah dan juga perpaduan parti-parti yang ada di Sabah.

"Bagilah kami ruang, bukan terus-terus kita buat begitu (terus terima parti). Kita ada caranya untuk menyatukan dan menerima parti-parti yang ingin bersama dalam GRS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan selepas merasmikan Pesta Koko Sabah 2022, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick bahawa penyatuan dalam GRS hanya cakap kosong kerana sehingga kini beberapa parti yang memohon masuk ke dalam gabungan belum diterima.

Mengulas mengenainya, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menganggap ia hanya pandangan daripada UPKO berhubung perkara itu.

Katanya lagi, buat masa ini pihaknya masih lagi mempertimbangkan permohonan beberapa parti itu dengan teliti.

"Permohonan sedang dipertimbangkan secara baik dan teliti, " jelasnya.

GRS yang dibentuk pada Mac lalu kini dianggotai lima parti tempatan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Sementara itu, antara parti yang sedang memohon untuk menyertai GRS ialah Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS) parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan yang terbaharu, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).