Bekas KP SPRM akan maklum jika sertai parti politik

Dzulkifli (kanan) menyampaikan bantuan berupa ikan cencaru kepada penduduk di Tasek Gelugor.
Dzulkifli (kanan) menyampaikan bantuan berupa ikan cencaru kepada penduduk di Tasek Gelugor.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan akan menyertai mana-mana parti politik sekiranya rakyat di Tasek Gelugor memerlukannya.

Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan bila tiba masanya namun dalam masa yang sama beliau akan meneruskan kerja-kerja kebajikan di parlimen terbabit.

"Saya akan maklum kalau dah sertai mana-mana parti politik, saya takkan sembunyi hal ini dan tak perlu kita nak berselindung.

"Bagaimanapun penyertaan saya dalam parti politik hanya akan dibuat keputusan sekiranya rakyat Tasek Gelugor mahukan saya, itu yang paling penting," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program rakyat, ikan percuma yang dianjurkan pejabatnya di Pokok Sena, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan Dzulkifli tidak menolak sekiranya rakyat mahukan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Dzulkifli (kanan) menyampaikan bantuan berupa ikan cencaru kepada penduduk di Tasek Gelugor.
Dzulkifli (kanan) menyampaikan bantuan berupa ikan cencaru kepada penduduk di Tasek Gelugor.

Beliau dikatakan kerap menjalankan aktiviti kebajikan dan menyantuni masyarakat di Tasek Gelugor sehingga ada yang beranggapan bekas orang nombor satu SPRM itu berhasrat untuk menjadi calon bagi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15 akan datang.

Mengulas mengenai perkara itu, Dzulkifli berkata apa yang dilakukan itu bertujuan untuk meringankan beban masyarakat di Tasek Gelugor yang merupakan kampung halamannya.

Tegasnya, sekiranya dia tidak menyertai parti politik sekalipun program-program kebajikan yang dibuat akan diteruskan mengikut kemampuan untuk rakyat dan penduduk kampung.

"Saya tidak perlu restu dari mana-mana parti politik untuk melakukan kerja-kerja kebajikan di sini lagipun apa yang saya lakukan hanyalah berskala kecil.

"Diharap dengan bantuan yang diberikan akan dapat meringankan beban masyarakat di sini tambahan ketika tengah bulan," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Dzulkifli menyantuni rakyat Tasek Gelugor apabila mengagihkan 1.5 tan ikan cencaru yang dibungkus dalam plastik seberat lebih satu kilogram (kg) kepada penduduk setempat termasuk pengguna jalan raya di kawasan tersebut.