Polis sedang lengkapkan siasatan kes pelakon pukul penghuni kondo

Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai seorang pelakon direman tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai seorang pelakon direman tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes pukul dan ugut bunuh membabitkan seorang pelakon lelaki popular di sebuah kondominium di Segambut di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya memerlukan masa bagi melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun, kita cuba melengkapkan siasatan kes berkenaan dalam masa terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan suspek berusia 30-an ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek disyaki telah menumbuk dan menendang seorang penghuni di kondominium berkenaan pada jam 8.30 malam.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dikatakan meminta tolong rakannya untuk membeli minyak masak di luar kawasan kediaman berkenaan.

Ketika rakan mangsa mahu menghantar minyak masak yang dipesan, dia tidak dibenarkan masuk ke kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan.

Mangsa kemudian turun ke kawasan lif lobi kondominium itu dan bertanyakan punca rakannya tidak dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan pengawal keselamatan terbabit sebelum artis lelaki yang juga suspek tiba-tiba datang dan menumbuk serta menendang mangsa.

Mangsa mendakwa suspek menumbuk dan menendangnya di bahagian muka, dada serta perut dan belakang badan, selain mencekik dan mengugut akan membunuhnya.

Mangsa tampil membuat laporan polis sejurus kejadian itu.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah memberkas suspek di kediamannya di kondominium itu pada malam Jumaat.