Zuraida harap ada berita baik jumpa PM

Zuraida (tengah) bersama sebahagian barisan panel yang terlibat dalam program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi pada Ahad.
Zuraida (tengah) bersama sebahagian barisan panel yang terlibat dalam program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Bakal Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengharapkan berita baik berpihak kepadanya menjelang pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu hadapan.

Beliau berkata, berita baik itu termasuklah mengekalkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam Kabinet.

"Saya tak tahu lagi bagaimana khabarnya nanti kerana belum jumpa, tetapi saya mengharapkan ia berita baik, itu sahaja.

"Berita baik itu (maksud) kekal jawatanlah supaya mudah untuk saya habiskan program dan perancangan yang telah dimulakan (sebagai menteri)," katanya ketika ditemui merasmikan program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi anjuran Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel) di sini pada Ahad.

Sebagai menteri, Ahli Parlimen Ampang itu akui, masih terdapat beberapa program yang dalam perancangan kementeriannya kini berada di peringkat pelaksanaan.

"Jadi kalau terus (dikekalkan), dapatlah kita sempurnakan apa yang telah dirancangkan itu. Lagipun, (keputusan kekalkan jawatan) boleh bantu menstabilkan negara dan Kabinet," katanya.

Sidang media Zuraida selepas selesai program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi pada Ahad.
Sidang media Zuraida selepas selesai program Pemerkasaan Wanita di Peringkat Akar Umbi pada Ahad.

Pada 16 Jun lepas, Ismail Sabri mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Zuraida minggu hadapan bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Pertemuan itu susulan keputusan Zuraida meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai PBM.

Zuraidi dalam laporan media sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri jika diarahkan oleh Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, beliau yakin, PBM mempunyai peluang cerah untuk bertanding di Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, meskipun parti baharu.

Katanya, dimensi politik ketika ini begitu luas tanpa menonjolkan mana-mana parti yang lebih dominan.

"Semua yang masuk (parti) baru ke, lama, tua atau muda, semua ada peluang kerana yang penting bagaimana kita rancang pendekatan politik untuk mendapat sokongan daripada pengundi.

"Di Perak kita juga ada sasaran, tetapi buat masa ini belum diputuskan lagi," katanya.