'Perancangan buat lagu untuk Adibah Noor tidak kesampaian'

M Nasir ketika ditemui media di Masjid Al Ansar, Keramat pada Ahad.
M Nasir ketika ditemui media di Masjid Al Ansar, Keramat pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komposer dan penyanyi tersohor, Datuk M Nasir memaklumkan beliau dalam perancangan menghasilkan lagu untuk Allahyarhamah Adibah Noor.

Ujar beliau, lagu tersebut masih dalam proses pembuatan dan ia belum diberikan judul.

"Saya sepatutnya membuat lagu untuk dia (Allahyarhamah Adibah Noor).

"(Saya) tengah buat (lagu itu) sudah beberapa tahun," katanya kepada petugas media di Masjid Al Ansar, Keramat pada Ahad.

Dalam pada itu, M Nasir menyifatkan Allahyarhamah Adibah Noor sebagai seorang anak seni yang mempunyai ketegasan dan berpegang teguh dengan pendirian diri.

Katanya, sikap Allahyarhamah merupakan antara ciri istimewa yang ada padanya sepanjang perkenalan mereka.

"Jika ada sesuatu yang betul, dia akan berdiri di atas sikapnya yang betul itu.

"Dia bermula dengan saya sebagai penyanyi latar, sejak itu saya tahu dia punya kemahiran menyanyi dan mempunyai kualiti yang tersendiri," ujarnya.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 petang akibat kanser ovari tahap empat pada Sabtu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarhamah Adibah Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai pada jam 11.55 pagi Ahad.

Antaranya yang hadir bagi memberi penghormatan akhir adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac; pelawak dan pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki; pelakon, Syarifah Amani dan Remy Ishak.