Malaysia belum sesuai hapus kenderaan usia lebih 10 tahun

Ka Siong (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas pelepasan perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di JB Sentral pada Ahad.
Ka Siong (dua dari kiri) pada sidang akhbar selepas pelepasan perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di JB Sentral pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cadangan supaya kenderaan di negara ini yang melepasi had usia lebih 10 tahun dihapuskan bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas masih belum sesuai dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu memerlukan penelitian secara holistik selain kajian terperinci daripada pelbagai sudut sebelum diterima.

"Pandangan dan idea dari pelbagai pihak termasuk pakar sentiasa didengari kerajaan. Namun langkah untuk melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita.

"Penyelesaian isu kesesakan di jalan raya bukan itu sahaja (pelupusan kenderaan lebih 10 tahun) kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.

"Jaringan pengangkutan sempurna diperlukan di seluruh negara termasuk di kampung-kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelepasan perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di JB Sentral di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Ka Siong berkata, setakat ini terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun hanya 22 juta yang aktif membayar cukai jalan.

"Hasil daripada penelitian yang dilakukan terdapat individu dan pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama meskipun tidak lagi aktif di jalan raya dan masih digunakan di kampung-kampung.

"Kita (kementerian) ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini.

"Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita lihat semula punca kenderaan tidak aktif ini," katanya.

Menurutnya, banyak lagi perkara perlu diteliti kerana isu berkenaan cukup kompleks meskipun terdapat banyak negara yang sudah membuat dasar tersebut termasuk Singapura.

"Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula. Ini kerana dasar automotif menggalakkan pemilikan kenderaan buatan Malaysia," katanya.

Pada Khamis lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan agar kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun bagi masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.

Mana-mana kenderaan yang telah melepasi had tempoh ditetapkan perlu dilupuskan supaya tidak berada di jalan raya dan polisi tersebut bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.