Lulusan Kejuruteraan Elektrik jadi pendandan kucing

Muhammad Izzat berbangga menjadi pendandan kucing walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Muhammad Izzat berbangga menjadi pendandan kucing walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik.
A
A
A

PASIR MAS - Memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik bukan penghalang Muhammad Izzat Syazwan Zahidi, 32, meneruskan kerjaya dalam bidang yang diminatinya.

Muhammad Izzat atau lebih mesra dipanggil Izzat mengakui gembira bergelar pendandan kucing (cat groomer) walaupun bidang berkenaan sangat berbeza dengan kelulusannya.

Menurutnya, sebagai pendandan, dia akan memastikan kucing sentiasa sihat dan bersih selain kepentingan penjagaan pemakanan.

"Menjaga kucing memerlukan lebih banyak masa kerana haiwan ini mahukan perhatian dan kasih sayang.

"Saya juga menitikberatkan tempat yang bersih kerana itu merupakan faktor utama kucing sentiasa sihat dan aktif," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain itu, Izzat berkongsi tips kucing sihat iaitu menjaga pemakanan seimbang dan mengelakkan makanan berasaskan gandum.

Muhammad izzat (kiri) ketika menyertai Kelantan Superstar Fun Cat Show di IPD Pasir Mas pada sabtu.
Muhammad izzat (kiri) ketika menyertai Kelantan Superstar Fun Cat Show di IPD Pasir Mas pada sabtu.

Pemilik kepada lebih 20 ekor kucing itu memberitahu, mula berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak lima tahun lalu selepas tamat pengajian.

Tambah Izzat, pendapatan dalam bidang itu bergantung kepada pengalaman dan turut mengakui boleh mencecah antara RM8,000 hingga RM 12,000 sebulan.

"Pendandan kucing juga boleh membuka kelas kepada mereka yang baru berkecimpung dalam bidang ini selain berkongsi tips kucing gebu dan sihat," katanya.

Izzat yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur berkata, bidang berkenaan menjadi pilihan kerana suka melihat kucing bersih dan didandan cantik.

Justeru, tidak hairan jika Izzat sanggup menghabiskan wang kira-kira 7,000 sebulan untuk kucingnya sendiri termasuk kos makanan dan penjagaan kesihatan.

Anak sulung daripada tiga beradik itu turut berkongsi manfaat berkaitan kucing melalui Instagramnya, izzatscottishparadise.

Bercita-cita meningkatkan lagi kerjayanya Izzat kini aktif menjadi juri beberapa pertandingan kucing sihat di seluruh negara termasuk program Kelantan Superstar Fun Cat show di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Sabtu.

"Saya berhasrat dapat mengembangkan kerjaya dan pergi keluar negara untuk belajar lebih banyak ilmu dalam bidang ini.

"Saya melakukan apa yang disukai. Saya mahu sentiasa gembira dan memilih haiwan ini sebagai rakan yang boleh menghilangkan penat," katanya.