Segera umum subsidi kepada pengguna

Orang ramai mendesak kerajaan untuk mengumumkan pemberian­ subsidi kepada pengguna kerana harga ayam dijangka naik melebihi RM10/kg pada Julai. Foto hiasan.
Orang ramai mendesak kerajaan untuk mengumumkan pemberian­ subsidi kepada pengguna kerana harga ayam dijangka naik melebihi RM10/kg pada Julai. Foto hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai mendesak kerajaan untuk mengumumkan pemberian subsidi kepada pengguna kerana harga ayam dijangka naik melebihi RM10 sekilogram pada bulan hadapan susulan berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam dan pemberian subsidi kepada penternak.

Pengguna, Aiman Athira Apandi, 32, berkata, tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan segera bagi membantu rakyat terutamanya bagi golongan B40.

Aiman Athira
Aiman Athira

“Kerajaan tidak boleh berlengah-lengah dalam mengambil tindakan seperti ini sebab keadaan rakyat sekarang semakin susah.

“Kerajaan perlu fokus kepada usaha membantu serta memudahkan rakyat, bukan sebaliknya,” katanya yang bekerja sebagai seorang cef kepada Sinar Ahad.

Dalam pada itu, kerani, Nik Muhammad Farihan Nik Mohd Anuar, 28, berkata, kenaikan harga ayam yang akan berlaku itu semestinya memberi impak kepada perbelanjaan rakyat dan golongan peniaga.

Nik Muhammad Farihan
Nik Muhammad Farihan

“Dalam keadaan ekonomi masa kini, kerajaan perlu mengambil langkah dengan cepat.

“Kenaikan harga ayam sangat memberi kesan kepada banyak pihak seperti peniaga makanan dan sebagainya,” ujarnya.

Bagi Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Eman Azmi, 29, keluhan dan usaha rakyat dalam menyampaikan mesej kepada kerajaan berhubung kenaikan harga ayam juga perlu dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Eman
Eman

“Kumpulan pendesak seperti NGO dan persatuan pengguna malah rakyat sendiri perlu bergabung untuk memberi mesej jelas kepada kerajaan supaya mengawal harga barang keperluan.

“Kita tidak mahu rakyat terus terhimpit dengan semua harga barang naik termasuk ayam,” jelasnya.

Sementara itu, pesara, Maimunah Osman, 64, berkata, pengumuman subsidi kepada pengguna perlu diteruskan kepada rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 berikutan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Maimunah
Maimunah

“Bagaimanapun, pemberian subsidi adalah untuk tindakan jangka pendek. Kerajaan perlu juga memikirkan tindakan untuk jangka panjang seperti meningkatkan bekalan ternakan dan pertanian yang mencukupi untuk keperluan rakyat tanpa bergantung kepada import dari negara jiran.

“Selain itu, kerajaan perlu memanfaatkan ruang tanah yang ada dan kemahiran rakyat sendiri untuk sumber bekalan makanan,” katanya.

Bagi jurutera, Muhammad Fauzi Jais, 32, pula, pemberian subsidi wajar diteruskan ketika ini namun pada masa yang sama kerajaan perlu memikirkan langkah alternatif jangka masa panjang.

Muhammad Fauzi
Muhammad Fauzi

“Bagi jangka masa panjang, kita perlu cari alternatif lain makanan kepada ayam supaya keperluan pengedaran ayam tidak putus manakala untuk jangka pendek, pengumuman subsidi perlu diberikan kepada kumpulan sasar seperti B40,” ujarnya.