Sabah pendahulu baharu Liga Super

Pemain Rhinos meraikan jaringan pertama Pessoa ketika aksi Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas pada Sabtu. Foto Bernama
Pemain Rhinos meraikan jaringan pertama Pessoa ketika aksi Sabah FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KELAB kepulauan Borneo, Sabah FC mencipta sensasi apabila menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Dua jaringan skuad Rhinos bermula dengan Neto Pessoa pada minit ke-10 diikuti jaringan Taiki Kagayama di minit ke-18 menyaksikan tuan rumah menungguli separuh masa pertama 2-0.

Tok Gajah kendalian pengendali dari Perancis, Christophe Gamel cuba bangkit pada babak kedua akhirnya berjaya mengurangkan defisit menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-60.

Keputusan di Likas itu menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee memintas penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) di tangga teratas liga dengan berkelebihan dua mata selepas mengharungi lapan perlawanan - dua perlawanan mengatasi skuad Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora.

Sementara itu, Melaka United gagal menggunakan peluang beraksi di Stadium Hang Jebat untuk mengatasi Negeri Sembilan apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam satu lagi aksi berintensiti tinggi Derbi Naning.