PTPTN: Pinda polisi PGB atau berhadapan amukan anak muda

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memberi amaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar segera meminda polisi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) atau Kerajaan bakal berhadapan dengan amukan anak muda.

Presidennya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, anak muda Malaysia dari seluruh negeri dan universiti akan bangkit memperjuangkan hak sekiranya PTPTN masih berdiam diri dan tidak meminda atau menarik balik skim PGB.

Menurutnya, skim PGB adalah sangat zalim dan menekan hidup graduan Malaysia khususnya buat mereka yang datang daripada keluarga yang miskin.

“Apa yang dilakukan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik adalah tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN dahulu.

“Kerajaan sepatutnya memberikan fokus kepada pembangunan polisi-polisi untuk memberdaya ekonomi anak muda dan bukannya merompak gaji anak muda miskin secara terbuka dan menggunakan kuasa yang mereka ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: PGB: PTPTN hubungi enam egensi kumpul maklumat majikan]

[ARTIKEL BREKAITAN: PTPTN: Anwar hantar nota segera kepada PM]

Muhammad Faizzuddin berkata, Pengerusi PTPTN dan Menteri Pendidikan yang menikmati gaji besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme yang mapan untuk membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil disamping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.

Artikel Berkaitan:

“Namun, apa yang berlaku adalah perkara yang sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminajam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada.

“Menurut laporan Bank Negara Malaysia 2017, graduan bujang sepatutnya mempunyai gaji sebanyak RM2700 sebulan, graduan yang berkahwin tanpa anak mendapat gaji sebanyak RM4500 sebulan dan graduan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM6500 sebulan,” katanya.

Muhammad Faizzuddin memberitahu, sementara menurut data kajian yang dilakukan oleh Kajian Pengesanan mahasiswa 2016, sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan sebanyak RM2,000 dan ke bawah sebulan dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah.

“Ini menunjukkan bahawasanya majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang baik seperti yang dicadangkan oleh BNM.

“Kerajaan sepatutnya tidak malas untuk membuat kajian dan berdialog dengan para pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN,” katanya lagi.