Pas Kelantan dijangka berdepan cabaran getir PRU akan datang

Awang Azman
Awang Azman
A
A
A

KOTA BHARU - Pas dijangka berdepan cabaran getir pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkara itu dilihat menerusi minat rakyat yang lebih terarah kepada isu-isu semasa yang berlaku di Kelantan seperti masalah bekalan air.

Katanya, perhatian rakyat terhadap permasalahan semasa tersebut diperhatikan menerusi Forum Rakyat Siri 1 yang dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) bertajuk Masa Depan Kelantan: Anak Muda yang berlangsung Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini, pada Khamis.

“Pas berdepan cabaran yang getir pada PRU akan datang.

“Hal ini dapat dilihat daripada cetusan minat audien pada forum tersebut yang teralih dengan isu-isu semasa seperti bekalan air di Kelantan berbanding tajuk asal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Forum yang julung kali diadakan itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor; Ketua Pemuda Pas, Mohamad Kamal Mohamed dan Ketua Pemuda Amanah, Hazmi Hassan bersama moderator, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran UM, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Awang Azman berkata, penganjuran forum seumpama itu dapat memberi manfaat pencerahan isu yang menjadi kemelut dalam kerajaan Kelantan.

“Forum sebegini perlu diteruskan lagi pada masa depan kerana dapat meraikan kepelbagaian pendapat dari parti politik yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Ini mampu membuka minda dan pencerahan kepada rakyat negeri Kelantan atau pengundi luar Kelantan,” katanya.

Ujarnya, idea-idea dan gagasan yang dibawa oleh ketiga-tiga ketua pemuda parti di Kelantan pada forum tersebut relevan dengan isu-isu yang diperkatakan oleh rakyat Kelantan khususnya dalam permasalahan yang berlaku.

Forum tersebut antaranya membangkitkan isu berkaitan peluang pendidikan, pekerjaan dan inisiatif kepada golongan muda di negeri itu selain kepentingan mereka dalam arena politik negara.