PRN Melaka: Parti bertanding jangan sebar politik kebencian - Ab Rauf

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan supaya tidak membawa budaya politik fitnah ke negeri itu.

Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, beliau meraikan pentas demokrasi berkenaan namun parti bertanding perlu mempunyai batas tertentu ketika berkempen bagi mengelak perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Mereka boleh datang ke Melaka, saya raikan (PRN Melaka) sebagai pentas politik demokrasi (tapi) jangan sekali-kali memfitnah, menghasut dan menjalankan politik kebencian.

"Saya minta semua orang tolong berkempen dalam keadaan pilihan raya yang sihat. Kita buktikan Melaka negeri silaturahim,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Hang Tuah Jaya di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kepimpinannya telah bertungkus-lumus membina negeri itu agar setanding dengan negeri-negeri maju yang lain.

"Kita kena ingat, untuk mencapai satu taraf pencapaian yang baik bukan mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan sebuah perjuangan yang tidak akan menoleh ke belakang.

"Tahun lepas, kami berjaya mencatat RM14.8 bilion pelaburan masuk ke dalam negeri Melaka. Ia tak pernah berlaku dalam 20 tahun kerajaan negeri ini sebab barisan yang ada sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini adalah barisan terbaik yang saya terajui,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan undi awal pada 10 November.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) (dua kerusi). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!