Akmal Saleh buka bidaan motosikal, ikan tilapia bayar saman Teresa Kok

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida bagi mengumpul wang membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida bagi mengumpul wang membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida bagi mengumpul wang membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan.

Tambah Muhamad Akmal, beliau menghargai cadangan orang ramai untuk membuka tabung sumbangan bagi membantunya, namun memilih untuk mengusahakan penjualan aset miliknya terlebih dahulu.

"Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi. Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu.

"Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu.

"Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut akan saya pikul sepenuhnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Akmal Saleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan.
Akmal Saleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan.

Sebelum ini, Muhamad Akmal diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, motosikal dan perusahaan ikan tilapia ternakan itu merupakan dua aset yang telah habis dibayar dan boleh dijual.

"Saya tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah ini.

"Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat.

"Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa individu yang berminat membuat bidaan perlu memasukkan deposit RM100 ke akaun banknya sebelum menghantar resit pembayaran, butiran aset yang ingin dibida dan jumlah tawaran.

Tambahnya, sekiranya bidaan tersebut tidak berjaya, deposit RM100 akan dipulangkan sepenuhnya.

"Kepada sahabat yang mendoakan, terima kasih. Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.

"Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan," katanya.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!