SIRIM sedia bantu pekebun durian di Perak

Mohd Adzhar (dua dari kiri) melihat buah durian yang dipertandingkan bagi kategori buah terberat Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pekebun Durian Negeri Perak, di Dewan Komuniti Taman Meru, di sini pada Sabtu.

A
A
A

IPOH - Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad sedia membantu pekebun durian di Perak untuk memberikan nilai tambah kepada raja buah itu.

Pengarah SIRIM Perak, Mohd Adzhar Ahmad berkata, ketika ini SIRIM Berhad sedang membangunkan piawaian khusus bagi durian musang king.

Menurutnya, melalui pensijilan piawaian tersebut, durian musang king dan produk berkaitan buah tersebut akan menerima nilai tambah serta lebih mudah dipasarkan.

"Setiap negara mempunyai keperluan dan syarat untuk mengeksport durian seperti China yang memerlukan persijilan tertentu.

"Jika ada pensijilan SIRIM, tak perlu banyak dokumentasi untuk pasarkan buah durian untuk eksport ke luar negara. Jadi boleh kurangkan kerenah birokrasi negara-negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pekebun Durian Negeri Perak, di Dewan Komuniti Taman Meru, di sini pada Sabtu.

Mohd Adzhar (kanan) turut menjadi juri pertandingan durian yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pekebun Durian Negeri Perak, di Dewan Komuniti Taman Meru, di sini pada Sabtu.
Mohd Adzhar (kanan) turut menjadi juri pertandingan durian yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pekebun Durian Negeri Perak, di Dewan Komuniti Taman Meru, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Durian Perak, Nor Hisham Nayan berkata, pihaknya sedang merancang beberapa inisiatif untuk membantu pekebun durian meningkatkan kualiti tanaman mereka di negeri ini.

Menurutnya, beberapa kursus akan dianjurkan untuk ahli dengan kerjasama pelbagai agensi seperti kursus lanjutan, kursus biodiversiti, kursus kepada pekebun baharu dan sebagainya.

"Kita juga akan melantik ahli jawatankuasa (AJK) di setiap daerah di negeri ini bagi memantau keperluan ahli-ahli di daerah berkenaan.

"Saya bersama AJK juga akan turun padang untuk memberi khidmat nasihat yang disediakan persatuan tentang penanaman durian ini," katanya.

Nor Hisham berkata, keahlian persatuan berkenaan setakat ini melebihi 500 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang.