Piala AFC: KL City pertaruh pemain sedia ada

Stanley memberi bayangan awal KL City tidak akan membawa masuk mana-mana pemain baharu bagi menghadapi saingan Piala AFC 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.
Stanley memberi bayangan awal KL City tidak akan membawa masuk mana-mana pemain baharu bagi menghadapi saingan Piala AFC 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR (KL) City FC memberi bayangan awal tidak akan membawa masuk mana-mana pemain baharu bagi menghadapi saingan Piala AFC 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berkata, tindakan tersebut dibuat selepas barisan kejurulatihan yang diketuai Bojan Hodak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain sedia sepanjang kempen Liga Super setakat ini.

“Kalau kita lihat, hampir semua pemain yang menjulang kejuaraan Piala Malaysia dikekalkan. Malah, semua bahagian dalam pasukan ini tiada masalah, mungkin yang ada di posisi yang ditinggalkan Daniel Ting.

“Jadi kami mungkin tidak akan membawa mana pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini sebab pemain yang ada ketika ini sudah cukup kuat dan bersemangat untuk beraksi di Piala AFC.

“Bagaimanapun, sekiranya ada keperluan yang memaksa kami untuk membawa masuk mana-mana pemain, barulah kami akan buat. Itupun bergantung kepada sejauh mana pemain itu mampu untuk memberi nilai tambah kepada pasukan pada Piala AFC ini.

“Apa yang boleh saya katakan setakat hari ini, keputusan akhir akan dibuat selepas perlawanan Liga Super menentang Terengganu pada Sabtu ini. Dekat situ kita akan lihat perlu atau tidak untuk bawa pemain-pemain baharu,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Stanley berkata, KL City akan menggunakan sepenuhnya kelebihan bermain di tempat sendiri pada saingan Piala AFC itu dengan menyasarkan untuk menjadi juara kumpulan, sekali gus lolos ke pusingan seterusnya.

“Sudah tentu ia satu kelebihan buat kami, apabila bakal beraksi di laman sendiri. Jadi saya harap pemain-pemain dapat menggunakan kelebihan itu dengan sebaiknya dalam misi kami untuk menjadi juara kumpulan,” ujarnya.

Pada saingan Piala AFC musim ini, KL City sebagai tuan rumah diundi dalam Kumpulan H bersama kelab dari Indonesia, PSM Makassar dan wakil Singapura, Tampines Rovers.

Skuad The Hawks itu bakal membuka tirai perlawanan menentang PSM Makassar pada 24 Jun sebelum berdepan dengan Tampines Rovers berselang enam hari kemudian.