Lebih 6,000 atlet sahut cabaran SUKIPT 2022

Noraini ketika melancarkan majlis perasmian SUKIPT 2022 di Tanjung Malim pada Jumaat.
Noraini ketika melancarkan majlis perasmian SUKIPT 2022 di Tanjung Malim pada Jumaat.
A
A
A

SUKAN Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 kembali dianjurkan bagi melahirkan persaingan kompetitif dan memberi ruang kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) bergiat aktif dalam arena sukan selepas tertangguh penganjurannya pada 2020 akibat Covid-19.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, lebih 6,000 atlet dan 70 kontinjen akan bersaing dalam 21 acara dipertandingkan pada kejohanan yang menawarkan 210 pingat emas bermula 12 hingga 21 Ogos di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberikan beberapa Insentif Kecemerlangan SUKIPT yang baharu iaitu Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT masing-masing bakal menerima wang tunai RM3,000.

"Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT akan menerima wang tunai RM7,000 dan pemain yang berjaya melakukan hole-in-one bagi sukan golf ditawarkan wang tunai RM1,000," katanya berucap pada majlis perasmian SUKIPT 2022 di Tanjung Malim pada Jumaat.

Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM20,000 turut akan diberikan secara bersama kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sukan yang bermula pada 2012 itu.

Noraini berkata, bagi memberi kelainan, Hari Kerjaya Sukan juga akan diadakan dengan menghimpunkan pengamal industri sukan dengan peserta dan pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya dalam bidang sukan.

"Saya percaya SUKIPT 2022 akan menjadi satu daripada medan untuk atlet IPT mengembalikan prestasi terbaik setelah hampir empat tahun tidak terlibat dengan kejohanan bertaraf kebangsaan, secara tidak langsung membolehkan atlet membuat persediaan awal untuk menghadapi kejohanan besar di peringkat antarabangsa pada 2023.

"Walaupun edisi kali ini tidak melibatkan penyertaan IPT dari negara Asia Tenggara seperti sebelum ini, saya yakin aksi yang dipamerkan oleh atlet yang bertanding tetap mampu meletakkan SUKIPT sebagai satu kejohanan sukan terbesar dan bertaraf tinggi setanding temasya lain seperti Sukan Malaysia dan sebagainya," katanya.

Menurut Noraini, KPT amat komited dengan usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara melalui penganjuran acara sukan berskala tinggi, bertaraf kebangsaan dan antarabangsa bagi mengekalkan momentum kecemerlangan prestasi atlet IPT dan negara di peringkat tertinggi termasuk Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA dan Sukan Komanwel.

Beliau berkata, atlet IPT menjadi antara penyumbang terbesar pingat kontinjen negara dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dengan 83 pingat atau 47.7 peratus daripada 174 pingat yang dimenangi adalah daripada atlet IPT iaitu 24 daripada 39 pingat emas, 21 daripada 45 perak dan 38 daripada 90 gangsa.

"Saya difahamkan kontinjen IPT negara akan berjuang di Sukan Universiti ASEAN pada 27 Julai hingga 6 Ogos ini di Ubon Ratchathani, Thailand, jadi saya harap atlet kita akan terus mempamerkan aksi, mencipta kecemerlangan di persada Asia Tenggara," katanya. - Bernama