150,000 peluang pekerjaan untuk anak Kedah menjelang 2035

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada penaja daripada First Solar Sdn Bhd di Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan dan Kerjaya di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Jitra pada Jumaat.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada penaja daripada First Solar Sdn Bhd di Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan dan Kerjaya di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Jitra pada Jumaat.
A
A
A

KUBANG PASU - Kerajaan Kedah dalam usaha mewujudkan 150,000 peluang pekerjaan kepada anak negeri itu menjelang 2035.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peluang pekerjaan itu ditawarkan bagi industri sedia ada termasuk lain-lain industri yang makin berkembang di negeri ini.

Menurutnya, inisiatif berkenaan sebagai usaha agar anak-anak Kedah di perantauan dapat pulang bekerja di negeri sendiri.

"Hasrat saya agar anak-anak Kedah balik berkhidmat di sini, dekat dengan keluarga, boleh kerja sambil jaga ibu ayah yang uzur," katanya ketika sidang media Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan dan Kerjaya di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Jitra pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga berusaha untuk menambah kursus berkaitan kejuruteraan di Kedah.

"Setakat ini universiti yang ada di negeri kita adalah universiti pengurusan, kita tak ada lagi universiti yang melahirkan jurutera.

"Exco Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail sedang berunding dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini untuk sesuaikan kursus mengikut keperluan industri," katanya.