Empat lembu mati dilanggar ambulans

Keadaan lembu dan ambulan selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Belud-Kota Marudu awal pagi Jumaat.
Keadaan lembu dan ambulan selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Belud-Kota Marudu awal pagi Jumaat.
A
A
A

KOTA BELUD - Empat ekor lembu mati selepas dirempuh ambulans yang sedang dalam perjalanan membawa pesakit ke Kota Kinabalu dalam kejadian di Jalan Kota Belud-Kota Marudu di sini pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu ambulans bersama empat lagi penumpang termasuk seorang doktor dan jururawat dilaporkan selamat.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian sebuah ambulans milik Hospital Kudat dan pemandunya sedang dalam tugas rasmi membawa pesakit ke hospital di Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi ketika berada di jalan yang lurus, tiba-tiba sekumpulan lembu melintas jalan dari arah kanan ke kiri jalan.

"Disebabkan jarak yang sudah terlalu dekat, pemandu ambulans tidak dapat mengelak lalu melanggar lembu berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, pemandu ambulans bersama penumpangnya iaitu doktor, jururawat, pesakit dan seorang ahli keluarga pesakit dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Akibat kejadian itu lembu-lembu berkenaan bergelimpangan di atas jalan dan sehingga kini belum ada individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59)," katanya.