Kenyataan Setiausaha Pas Selangor tidak tepat: Istana Selangor

Kenyataan media dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor.
Kenyataan media dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan dikeluarkan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berhubung sesi menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan pada Selasa adalah tidak tepat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tidak berlaku situasi 'Baginda ingin tahu pendirian kami (Pas) dalam perayaan Bon Odori' seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita pada Khamis.

Menurutnya, pertemuan tersebut bagi tujuan baginda menyatakan pendirian tidak menyekat festival kebudayaan Jepun, Bon Odori yang akan diadakan di Selangor, yang pada pandangan baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

"Baginda juga menyatakan tidak menghalang mana-mana orang Islam untuk hadir festival itu sehingga satu kajian mendalam dilakukan bagi menentukan sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan.

"Ia bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam," katanya menerusi kenyataan dikongsikan di Selangor Royal Office pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk laporan dikeluarkan Roslan Shahir yang disiarkan dalam sebuah portal berita bertajuk 'Tiada masalah antara kami, kata Pas Selangor selepas menghadap Sultan'.

Di dalam kandungan berita tersebut memetik sebagai berkata, 'Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda'.

Mohamad Munir menegaskan kenyataan itu adalah tidak tepat sama sekali dan tidak berlaku ketika Ahmad Yunus menghadap baginda Sultan pada tarikh berkenaan.

Tambahnya, beberapa Ahli Dewan Diraja Selangor iaitu Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah dan Datuk Setia Salehuddin Saidin turut dititah hadir menyaksikan pertemuan tersebut.

Pada Rabu, sebuah media tempatan melaporkan Ahmad Yunus menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini untuk berbincang mengenai Festival Bon Odori yang akan diadakan di sini pada Julai depan.

Memetik berita tersebut, Roslan Shahir berkata, pihaknya dihubungi oleh pihak istana pada Selasa berikutan baginda ingin mengetahui pendirian Pas berkenaan penganjuran festival berkenaan.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus pada Khamis menafikan kenyataan dikeluarkan Roslan Shahir itu.

Beliau berkata, tiada sebarang perbincangan mengenai festival tersebut diadakan sebaliknya hanya ke istana untuk mendengar titah baginda.