Tiada keperluan tukar nama PBS

Joniston (dua dari kiri) ketika hadir pada Program Jelajah Penerangan PBS di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Joniston (dua dari kiri) ketika hadir pada Program Jelajah Penerangan PBS di Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tidak ada keperluan untuk menukarkan nama Parti Bersatu Sabah (PBS), kata Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, PBS telah menunjukkan kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan iklim politik dan ia terus kekal relevan walaupun sudah wujud selama 37 tahun.

"PBS telah mengharungi cabaran masa tanpa melalui proses penjenamaan semula dan parti ini telah mempunyai jenamanya yang tersendiri dan boleh dibanggakan.

"Jadi tidak ada keperluan untuk menukarkan nama itu. Sebaliknya, apa yang penting ialah memastikan parti kekal cergas mengikut keadaan semasa dan semua ahli memahami sepenuhnya serta menjiwai perjuangan parti supaya kita boleh menjawab dengan fakta terhadap sebarang kritikan yang dilemparkan terhadap parti," katanya pada Program Jelajah Penerangan PBS pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki.

Mengulas lanjut, Joniston berkata, PBS ketika ini berada di landasan yang betul dan semua ahli bangga untuk terus berjuang bersama parti.

Beliau berkata, adalah penting untuk parti kekal bertenaga agar menjadi lebih agresif terutama di media sosial dan tidak seharusnya bersikap defensif sebaliknya bersedia membidas tohmahan yang dilontarkan.

“Sebagai ahli, kita juga harus berani bersuara dan memberi teguran membina kepada pucuk pimpinan sekiranya terdapat sebarang kesalahan atau kelemahan.

“Dalam pada itu, kepimpinan parti juga perlu bersikap terbuka menerima kritikan daripada ahli. Inilah reformasi yang diperlukan parti supaya kita semua dapat bekerjasama untuk memartabatkan lagi kekuatan PBS,” ujarnya.