Musk bersama syarikatnya disaman RM1.1 trilion

Elon Musk - Foto AFP
Elon Musk - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Seorang pelabur mata wang kripto, dogecoin yang nilainya jatuh setelah dipromosikan oleh Elon Musk memfailkan tuntutan undang-undang di mahkamah sebanyak AS$258 bilion (RM1.1 trilion) pada Khamis terhadap bilionair itu dan syarikatnya, Tesla serta SpaceX.

Pelabur itu, Keith Johnson menyatakan bahawa dia mengalami kerugian selepas melabur dalam dogecoin.

Sehubungan itu, Johnson menggambarkan dirinya sebagai warganegara Amerika Syarikat (AS) yang ditipu oleh apa yang dipanggilnya sebagai Skim Piramid Kripto Dogecoin.

Dia meminta tuntutan undang-undang tersebut yang difailkan di sebuah mahkamah New York diklasifikasikan sebagai saman bagi pihak mereka yang mengalami kerugian dengan melabur dalam dogecoin sejak tahun 2019.

Sejak Musk mula mempromosikan mata wang maya, pelabur-pelabur telah kerugian sekitar AS$86 bilion (RM378.19 bilion), menurut anggaran Johnson.

Dia mahu Musk membayar balik pelabur-pelabur dengan jumlah itu dengan membayar dua kali ganda daripada ganti rugi tersebut dengan membuat bayaran tambahan sebanyak AS$172 bilion (RM756.37 bilion).

Dogecoin dicipta pada tahun 2013 dengan nilainya melonjak pada awal tahun 2021 dan meningkat kepada AS$0.73 (RM3.21) pada Mei tahun lalu tetapi pada Khamis, ia bernilai kurang daripada AS$0.06 (RM0.26).

Musk buat masa kini merupakan bilionair yang paling kaya di dunia. - Agensi