Kerajaan lulus peruntukan lebih RM1.5 bilion atasi banjir di Kelantan

Mustapa Mohamad. - Foto Bernama
Mustapa Mohamad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih RM1.5 bilion untuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dan tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri pada bulan Mei lalu telah meluluskan permohonan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi peluasan skop projek pembinaan PLSB Sungai Golok.

"PLSB dan juga tebatan banjir dilaksanakan melalui dua fasa utama yang fasa pertama melibatkan kos sebanyak RM656 juta dan dijangka siap pada tahun 2024, merangkumi skop seperti pembinaan ban banjir Sungai Golok sepanjang 26.2 kilometer (km), pembinaan pemecah ombak (daik), pembinaan ban Sungai Mentua (8.1km), pembinaan outlet gate Kuala Jambu dan penambahbaikan ban banjir Sungai Lanchang Lemal (19.8km)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi fasa kedua pula, kos yang diluluskan pada asalnya berjumlah RM465 juta dan dijangka siap pada tahun 2028 yang meliputi skop projek seperti pembinaan tembok banjir Rantau Panjang, pengambilan tanah dan beberapa komponen bukan fizikal.

"Kelulusan kos tambahan sebanyak RM414 juta iaitu peningkatan daripada RM465 juta kepada RM879 juta ini adalah berdasarkan penjimatan beberapa projek lain di bawah KASA yang tidak dapat dibelanjakan.

"Peluasan skop ini melibatkan pembinaan ban banjir Sungai Lanchang Lemal (20km), pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Kedotak ke Sungai Lanas (21km), pembinaan ban banjir Sungai Golok dari Kampung Lanchang ke Kampung Kedotak (19km) dan pembinaan empat rumah pam," katanya.

Beliau berkata, sehingga 14 Jun lepas, pelaksanaan fasa satu PLSB Sungai Golok menunjukkan prestasi yang amat baik iaitu sebanyak 56 peratus kemajuan fizikal manakala fasa dua berada di peringkat prapelaksanaan.

"Kedua-dua fasa PLSB Sungai Golok itu dijangka dapat mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi oleh penduduk di sepanjang lembangan berkenaan dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 40,000 penduduk di kawasan berkenaan," katanya. - Bernama