Pelajar cemerlang SPM peruntuk belajar tiga jam sehari

Farah Qistina (tengah) bersama ibu bapanya selepas mengambil keputusan SPM di SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya pada Khamis.
Farah Qistina (tengah) bersama ibu bapanya selepas mengambil keputusan SPM di SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Memperuntukan masa mengulang kaji pelajaran sebanyak tiga jam sehari adalah rahsia Farah Qistina Ahmad Hasrul, 18, mendapat keputusan 8A untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2021.

Anak sulung daripada tiga beradik yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, di sini tidak menyangka mendapat keputusan tersebut, malah menjangkakan terdapat gred lain seperti B dan C.

"Sejujurnya saya tidak sangka pun (dapat keputusan cemerlang), mungkin B atau C tapi alhamdulillah ALLAH beri rezeki untuk dapat 'straight A'.

"Saya rasa susah juga nak belajar sewaktu pandemik kerana kita tiada di depan cikgu, belajar sendiri tapi dengan bantuan ALLAH dapat juga keputusan cemerlang," katanya selepas ditemui di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Farah Qistina berkata, keputusannya yang cemerlang itu turut didorong oleh sokongan daripada ibu bapa yang tidak berbelah bahagi.

Ujarnya, ayahnya yang bekerja sendiri banyak meluangkan masa bersamanya walaupun berdepan cabaran membahagikan masa antara kerja dan ruang senggang bersama keluarga.

"Selepas ini, saya nak sambung belajar di universiti awam di Malaysia. Mungkin jurusan undang-undang, tidak tahu lagi," katanya.

Pada Khamis, peratus keputusan cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor pada tahun 2021 meningkat sebanyak 0.18 peratus berbanding tahun sebelumnya walaupun berdepan pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Rohayati Abd Hamed berkata, seramai 1,803 calon SPM pada tahun 2021 mendapat keputusan tersebut daripada sejumlah 74,519 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan.