Melbourne lokasi tetap F1 hingga 2035

Saingan Grand Prix (GP) F1 di Australia akan terus berlangsung di Albert Park, Melbourne sehingga 2035. - Foto whichcar.com
Saingan Grand Prix (GP) F1 di Australia akan terus berlangsung di Albert Park, Melbourne sehingga 2035. - Foto whichcar.com
A
A
A

PRESIDEN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Formula 1 (F1), Stefano Domenicali pada Khamis mengumumkan bahawa saingan Grand Prix (GP) F1 di Australia akan terus berlangsung di Albert Park, Melbourne sehingga 2035.

Menurut Domenicali, pengumuman itu dibuat berikutan Melbourne dilihat sebagai lokasi yang paling bersesuaian bagi penganjuran F1, berbanding lokasi-lokasi lain di negara berkenaan.

“Hari ini (Khamis), saya dengan gembiranya mengumumkan bahawa Melborne dan litar Albert Park akan terus menganjurkan Formula 1 pada masa akan datang.

“Malah litar Albert Park akan terus berada dalam kalendar perlumbaan F1 sehingga 2035,” katanya.

Perjanjian lanjutan untuk Litar Albert Park di Melbourne terus menganjurkan F1 telah pun dimeterai baru-baru ini.

Malah, Litar Albert Park turut dibuka kepada perlumbaan Formula 2 dan Formula 3 pada setiap hujung minggu.

Berdasarkan statistik, lebih 419,000 peminat sukan permotoran telah mengunjungi Albert Park bagi menyaksikan penganjuran F1 pada April lalu, sekali gus menjadikannya sebagai kunjungan penonton terbesar bagi acara sukan pada hujung minggu.

Mengulas lanjut, Domenicali berkata, keputusan untuk memastikan saingan F1 dapat terus berlangsung di Albert Park sebagai keputusan terbaik.

Katanya, ia sudah pasti akan dikunjungi oleh ribuan penonton bagi menyaksikan perlumbaan berkenaan.

“Kali ini, kita lihat kelompok penyokong yang besar selain bersemangat untuk menyaksikan perlumbaan.

“Sebab itulah, mengapa kami memilih Melbourne sebagai lokasi penganjuran F1,” katanya.