Kerajaan Persekutuan seolah-olah anak tirikan Johor: Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan negeri ini dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan meskipun merupakan penyumbang besar ekonomi negara.

Baginda bertitah, Johor pernah menyumbang hasil lebih RM13 billion setiap tahun dan pernah menjadi penyumbang pelaburan terbesar negara sejak tahun 2013 hingga 2018.

Bagaimanapun baginda berasa sedih dengan tindakan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur-infrastruktur awam yang terdapat di negeri ini.

"Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.

"Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yg rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.

"Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri," titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pada Khamis.

Titah baginda, sejak 2013 hingga 2018 Johor menduduki tempat pertama dari jumlah pelaburan di Malaysia berikutan keadaan politik stabil pada ketika itu yang telah bawa banyak pelaburan ke Iskandar Malaysia dan Pengerang.

Namun titah baginda, sejak 2019 hingga kini nilai pelaburan di Johor semakin merosot.

"Kenapa perkara ini terjadi, puncanya bukan kerana virus Covid-19 tetapi punca utama yang saya nampak adalah virus iri hati dan cemburu pada Johor. Ada pelabur nak membangunkan ladang solar terbesar di Pengerang namun kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan dengan alasan tiada kuota.

"Ada pelabur hendak membangunkan pusat tenaga dan pelabuhan laut dalam di Perairan Muar namun ada pula monyet yang melompat-lompat. Tidak mahu pembanguna dibuat sedangkan projek itu akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih terjamin kepada penduduk tempatan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, jika keadaan itu berterusan, maka jangan mimpi untuk tarik pelaburan yang besar ke Johor ini.

"Oleh itu, saya ingatkan kepada kerajaan negeri supaya buatkan perubahan berani demi kepentingan rakyat dan negeri ini. Saya juga menggesa kerajaan untuk laksana projek pembangunan infrastruktur seperti Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan lebuh raya baharu kerana ia akan beri limpahan ekonomi kepada pembekal dan kontraktor tempatan selain buka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan negeri juga tidak akan lagi beri hakmilik tanah kepada kerajaan Persekutuan. Tetapi mana-mana projek Persekutuan di Johor akan diberi status tanah rizab untuk tujuan yang hendak digunakan," titah baginda.