30 calon SPM di Johor dapat semua A+

Md Said menunjukkan keputusan SPM 2021 untuk negeri Johor pada sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Negeri Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada Khamis.
Md Said menunjukkan keputusan SPM 2021 untuk negeri Johor pada sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Negeri Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 30 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini mendapat semua A+ bagi mata pelajaran yang diduduki.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon berkata, secara keseluruhan seramai 1,122 calon SPM 2021 memperoleh keputusan cemerlang 10 A.

Menurutnya, bilangan calon mendapat kepujian 1C adalah seramai 6,031 manakala calon 1G pula adalah 12,118.

“Pencapaian calon SPM 2021 merupakan kohort pertama menduduki peperiksaan menggunakan format baharu pentaksiran dan peperiksaan. Prestasi ini menunjukkan kualiti calon cemerlang di negeri Johor.

“Berdasarkan pencapaian SPM 2021, terdapat 53 sekolah di Johor telah mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil yang meliputi sekolah-sekolah bandar dan luar bandar,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat pendidikan Negeri, Bandar Baru Uda di sini pada Khamis.

Md Said berkata, seramai 43,253 calon hadir menduduki peperiksaan SPM 2021.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 37,846 calon atau 87.5 peratus layak mendapat sijil.

"Gred Purata Nasional (GPN) Negeri Johor pada 2021 adalah 4.75, ia tak boleh dibandingkan dengan pencapaian tahun lalu kerana format berbeza.

"Gred Purata Sekolah (GPS) bagi semua 70 buah sekolah kategori luar bandar ialah 4.87 dengan 82 calon memperoleh semua A dan GPS bagi 205 sekolah kategori luar bandar ialah 4.73 dengan 1,040 calon cemerlang semua A," katanya.

Menurutnya, lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama memperoleh GPS 2.48 dengan 25 pelajar cemerlang semua A manakala 20 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan memperoleh GPS 3.56 dengan 31 calon cemerlang.