Empat mayat lelaki ditemui terapung di perairan Johor Timur

Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di sekitar perairan Johor Timur. - Foto Maritim Malaysia
Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di sekitar perairan Johor Timur. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KOTA TINGGI - Empat mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung di lokasi berbeza sekitar perairan Johor Timur dalam tempoh 48 jam sejak Selasa.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan dua mayat terapung daripada nelayan tempatan di perairan Pulau Lima, pada jam 12.15 tengah hari dan 1.10 petang pada Selasa.

Menurutnya, dua mayat terbabit telah dinaikkan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM) Sungai Musoh pada jam 4.30 petang pada hari yang sama.

"Seterusnya pada Rabu, seorang pemancing memaklumkan penemuan satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau pada jam 10.30 pagi.

"Kemudian, laporan kedua penemuan mayat diterima daripada nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar sekitar jam 12.40 tengah hari. Kedua-dua mayat terbabit dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mohd Najib berkata, keempat-empat mayat terbabit dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan seterusnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh salurkan terus kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07–2199401 yang beroperasi secara 24 jam.