Padah ubah suai Kelisa jadi Daihatsu

Pegawai JPJ menjalankan pemeriksaan kenderaan pada Op Pengarah JPJ Perak di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh.
Pegawai JPJ menjalankan pemeriksaan kenderaan pada Op Pengarah JPJ Perak di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Tindakan lelaki yang 'suka-suka' mengubah suai kereta Perodua Kelisa kepada model Daihatsu memakan diri apabila dia ditahan dalam Op Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Jalan Sultan Idris Shah di sini pada Rabu.

Notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berusia 30-an itu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam operasi bermula jam 8 malam itu, sebuah kereta Perodua Myvi turut disita kerana gagal memperbaharui cukai jalan sejak dua tahun lalu.

Operasi bersepadu melibatkan 87 pegawai dan anggota termasuk polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perak.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebanyak 312 kenderaan diperiksa dalam tempoh dua jam dengan 121 kenderaan telah diambil tindakan membabitkan pelbagai kesalahan.

"Operasi ini dijalankan dengan menyasarkan pelbagai jenis kenderaan yang meliputi kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.

"Kita melihat kepada kesalahan seperti lesen memandu, lesen kenderaan motor, penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, sebanyak 205 notis telah dikeluarkan dengan notis P22 iaitu notis arah periksa mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 142 notis.

Mohammad Yusoff menunjukkan salah sebuah kenderaan yang ditahan atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Mohammad Yusoff menunjukkan salah sebuah kenderaan yang ditahan atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Selain itu, sebanyak 23 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan dan 40 notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan.

"Berdasarkan statistik, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 32,658 notis saman sehingga Mei lalu berbanding tahun 2021 yang mencatatkan sebanyak 46,586 iaitu pengurangan sebanyak 28.3 peratus. Pengurangan ini disebabkan program advokasi yang dilakukan sejak awal tahun," katanya.

Mohammad Yusoff berkata, tiga individu ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan AADK.

"Polis turut mengeluarkan 10 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu manakala imigresen telah memeriksa seorang individu namun, tiada tangkapan dilakukan

"Justeru, pelaksanaan penguatkuasaan ini akan terus dilaksanakan secara berterusan untuk memantau atau menguatkuasakan lagi peraturan yang sedia ada," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pemegang empat jenis Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk memperbaharui lesen masing-masing berikutan tempoh moratorium berakhir 30 Jun ini.

"Lesen Belajar Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL) boleh diperbaharui di JPJ, MyEG atau Pejabat Pos.

"Tiada alasan lagi untuk mereka tidak memperbaharui dalam tempoh lebih kurang dua minggu ini," katanya.