Dua bulan tidak ke laut jaga isteri hidap kanser

Nordin (tiga dari kiri) sedih mengenangkan nasib mereka sekeluarga selepas isterinya disahkan mengidap kanser usus dan hati sejak April lalu.
Nordin (tiga dari kiri) sedih mengenangkan nasib mereka sekeluarga selepas isterinya disahkan mengidap kanser usus dan hati sejak April lalu.
A
A
A

MELAKA - Seorang nelayan buntu memikirkan nasib keluarganya selepas dia hampir dua bulan tidak dapat turun ke laut kerana menguruskan empat anaknya yang masih kecil selepas isteri ditimpa sakit.

Kehidupan Nordin Yusup, 42, berubah selepas isterinya Nurhabibah Mohd Nasir, 35, disahkan mengidap kanser usus dan hati pada April lalu sehinggakan sering mengerang kesakitan.

Nordin berkata,memandangkan terpaksa menguruskan isteri dan anak-anak, dia menumpang sementara di rumah ibu saudara, Sam Jalil, 64, di Kampung Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Menurutnya, dalam tempoh itu isteri terpaksa berulang alik ke Hospital Melaka dan Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, disebabkan kekangan masa dan kewangan dia yang berpendapatan kira-kira RM500 sebulan, tidak dapat menghantar anaknya berusia sembilan dan tujuh tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam seperti biasa.

"Dulu saya atau isteri yang hantar anak-anak ke sekolah, namun segalanya berubah selepas isteri disahkan mengidap kanser.

"Nasib baik ada ibu saudara sekurang-kurangnya ringan sedikit beban, terutama urusan makan dan minum kami sekeluarga selain isteri hanya bergantung susu khas yang diberikan hospital," katanya ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi, di sini, pada Rabu.

Tuminah (kanan) ketika mengunjungi Nurhabibah yang terlantar sakit di Kampung Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, pada Rabu.
Tuminah (kanan) ketika mengunjungi Nurhabibah yang terlantar sakit di Kampung Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, pada Rabu.

Jelasnya, biarpun mendapat bantuan bulanan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM200 dan belanja RM50, namun masih tidak mencukupi memandangkan anak bongsunya berusia dua tahun menggunakan lampin pakai buang dan minum susu dengan anggaran perbelanjaan RM500 sebulan.

"Dulu saya bekerja bolehlah belikan lampin semua, namun sekarang ini perlu menjaga isteri sakit.

"Disebabkan kesempitan wang, bayaran sewa rumah kami sebayak RM800 telah dua bulan tertunggak bagaimanapun tuan rumah memahami keadaan kami," katanya.

Sementara itu, Tuminah berkata, pihaknya akan melihat bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh disalurkan bagi meringankan beban keluarga Nordin.

"Saya difahamkan Nurhabibah akan mendapatkan rawatan susulan di HKL dan di pihak saya akan bantu dari segi kos pengangkutan.

"Dalam masa sama, saya akan melihat bantuan-bantuan lain yang boleh diberikan selain pemantauan agar kebajikan keluarga terbela dan anak-anak boleh bersekolah semula," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Nurhabibah melalui akaun Bank Simpanan Nasional Berhad (BSN) 0410929000014387.