Sinar Harian jenama media keempat Malaysia paling dipercayai

Sinar Harian
Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sinar Harian muncul sebagai jenama media keempat di Malaysia yang paling dipercayai berdasarkan Kajian Tahunan Institut Kajian Berita Digital Reuters 2022.

Kedudukan itu menunjukkan lonjakan terbesar Sinar Harian kerana pada 2020, akhbar ini tidak disenaraikan dalam senarai Jenama Berita Yang Paling Dipercayai dalam kajian tahunan berkenaan.

Bagaimanapun, dengan konsep pemberitaan yang telus dan tulus, Sinar Harian yang berslogankan 'Media Arus Perdana Nombor Satu Paling Diyakini' terus berada di tempat keempat tahun ini.

"Media yang berada di tangga teratas dalam senarai itu sebahagian besarnya kerana pendekatan seimbang dan kritikal dalam laporan beritanya," kata laporan itu.

Dalam senarai itu, Astro Awani berada di tempat pertama diikuti The Star di tempat kedua dan Malaysiakini di tempat ketiga.

Carta menunjukkan Sinar Harian menduduki tangga keemoat Jenama Berita Paling Dipercayai dalam Kajian Tahunan Institut Kajian Berita Digital Reuters 2022.
Carta menunjukkan Sinar Harian menduduki tangga keemoat Jenama Berita Paling Dipercayai dalam Kajian Tahunan Institut Kajian Berita Digital Reuters 2022.

Laporan itu menyenaraikan keseluruhannya 'top 15' Jenama Berita Yang Paling Dipercayai merangkumi akhbar, berita televisyen dan portal berita.

Laporan itu turut memaklumkan kepercayaan keseluruhan terhadap dunia media dari 2017 hingga 2022, merekodkan sebanyak 36 peratus.

Seramai 36 peratus peratus responden percaya pada berita yang dipaparkan dalam kebanyakan masa.

Sementara itu, Sinar Harian turut merekodkan pencapaian dari segi capaian 'offline' dan 'online' mingguan apabila menduduki tempat kelima dalam 16 jenama media yang tersenarai.

Empat jenama berada dalam tangga teratas bagi kategori itu adalah Berita TV3, Astro Awani, Harian Metro dan Berita Harian.

Bagi Jenama 'Online' pula, Sinar Harian Online berada di tangga ketujuh, juga daripada 16 media yang tersenarai.