Pekerja demonstrasi tuntut bayaran gaji

Sebahagian pekerja sebuah syarikat swasta mengadakan piket di prekarangan sebuah syarikat di Teluk Kalong di sini, pada petang Selasa bagi menuntut bayaran gaji dan elaun yang tertunggak.
Sebahagian pekerja sebuah syarikat swasta mengadakan piket di prekarangan sebuah syarikat di Teluk Kalong di sini, pada petang Selasa bagi menuntut bayaran gaji dan elaun yang tertunggak.
A
A
A
KEMAMAN - Kira-kira 50 pekerja sebuah syarikat swasta mengadakan demonstrasi secara aman bagi menuntut bayaran gaji serta elaun yang didakwa tidak dibayar mengikut jadual sejak dua tahun lalu.

Pekerja syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kren dan operasi kren luar pantai itu mengadakan piket di perkarangan syarikat berkenaan di Teluk Kalong di sini, pada petang Selasa.

Wakil pekerja, Mohd Safwan Zahari, 31, berkata, masalah itu berlaku selepas syarikat berkenaan diambil alih pengurusan baharu sejak 2020.

"Walaupun kami datang bekerja seperti biasa, gaji dan elaun kami tidak dibayar. Selain itu, syarikat juga telah membuat potongan gaji sebanyak 15 hingga 30 peratus bagi setiap pekerja sejak beberapa tahun lalu.

"Selain itu, elaun bagi pekerja yang ditugaskan di pelantar minyak serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kami tidak dibayar oleh majikan sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini pada petang Selasa.

Menurut Mohd Safwan, masalah itu berlaku secara berperingkat dan dialami oleh hampir 100 pekerja syarikat berkenaan.

Katanya, selain mereka, seramai 16 pekerja di bawah anak syarikat berkenaan turut menerima nasib yang sama.

"Kami semua menerima nasib yang sama secara berperingkat. Tekanan ini menyebabkan ada antara kami terpaksa berhenti kerja untuk mencari sumber rezeki lain untuk menyara keluarga masing-masing," katanya.

Senada dengan Mohd Safwan, Wan Mohd Safawi Wan Salleh, 41, berkata, keputusan berhenti kerja terpaksa diambil selepas berkhidmat dengan syarikat berkenaan selama 16 tahun demi menyara isteri dan tiga anak berusia 12 hingga lapan tahun.

"Saya terpaksa cari kerja lain kerana isteri saya tidak bekerja dan kesemua anak masih bersekolah. Saya juga mempunyai komitmen kereta dan rumah yang perlu dibayar setiap bulan.

"Walaupun dalam keadaan sukar untuk mendapatkan kerja, saya terpaksa berhenti kerana sudah tiada pilihan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansur menegaskan, syarikat berkenaan diberikan amaran untuk melunaskan bayaran dalam tempoh 10 hingga 15 hari.

"Kita kesal dengan nasib yang menimpa pekerja yang dianiaya dalam keadaan ekonomi dan harga barangan yang melambung.

"Kita bagi amaran kepada syarikat berkenaan, jika mereka tidak menjawab tuntutan untuk bayar gaji ini, kita akan ambil tindakan lebih tegas dengan mengadakan piket besar-besaran di ibu pejabat di Kuala Lumpur," katanya.

Kamarul Baharin
Kamarul Baharin



Menurut Kamarul Baharin, beberapa rundingan bersama pihak pengurusan syarikat telah diadakan, namun mereka masih gagal melunaskan bayaran gaji dan elaun pekerja.

"Kita telah beberapa kali mengadakan rundingan bersama syarikat berkenaan, namun tiada tindakan diambil oleh syarikat berkenaan," katanya.