Giat usaha wartakan Pulau Bangau

Terence (tengah) mencuba permainan susun gambar di salah sebuah booth pada program berkenaan di sini hari ini.
Terence (tengah) mencuba permainan susun gambar di salah sebuah booth pada program berkenaan di sini hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi tempatan serta wakil rakyat sedang berusaha mewartakan Pulau Bangau bagi memastikan habitat lebih 10 spesis burung bangau di sini, dilindungi dari sebarang ancaman.

Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, satu mesyuarat serta perjumpaan mengenai perkara tersebut telah diadakan sebelum ini melibatkan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing bersama pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

"Ketika mesyuarat terbabit kita telah bersetuju bahawa proses perlindungan Pulau Bangau hendaklah diberikan keutamaan dan kita sedang dalam proses untuk memastikan perlindungan tersebut dapat dilaksanakan.

"Perlindungan ini termasuklah mewartakan Pulau Bangau dan ia amat penting kerana jika habitat burung ini diganggu ia mungkin tidak akan dapat dipulihkan," katanya kepada Sinar Harian selepas hadir merasmikan program Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, di Arena Square Teluk Intan, di sini, hari ini.

Menurut Terence selain daripada mewartakan Pulau Bangau, pihaknya juga sudah berbincang dengan MPTI untuk menyediakan kertas kerja bagi pembinaan sebuah jeti pelancongan di Teluk Intan.

Ia bertujuan memudahkan pengusaha-pengusaha bot pelancongan yang menyediakan pakej jelajah Sungai Perak di bandar yang terkenal dengan Menara Condong itu termasuklah ke Pulau Bangau dan melihat kelip-kelip.

"Kita telah minta pihak MPTI menyediakan satu kertas kerja dan kita dalam proses untuk melihat bagaimana kita boleh lakukan dalam isu ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Terence berkata, ia merupakan anjuran Pertubuhan Kebajikan Hal Ehwal Wanita Aktif Teluk Intan (KHEWATI) yang prihatin dengan masalah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Program seumpama ini sangat penting dalam memberikan pendedahan kepada wanita bahawa mereka bukan sahaja mendapat perlindungan polis, malah juga bantuan pelbagai pihak sekiranya menjadi mangsa keganasan.

"Kita tahu ramai wanita yang menjadi mangsa takut untuk tampil. Sekiranya ada wanita di Teluk Intan yang jadi mangsa keganasan takut untuk melaporkan kepada polis, anda boleh datang ke pejabat saya dan kami akan bantu," katanya.