PGA rampas 828kg ayam sejuk beku seludup

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum dapat menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup 838 kilogram (kg) ayam sejuk beku dari negara jiran bernilai RM10,350 berdekatan Kampung Bukit Lata di Pasir Mas pada Selasa.

Komander PGA Briged Tenggara, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, insiden bermula sekitar jam 9 pagi apabila anggota PGA ternampak lelaki mencurigakan sedang memunggah kotak daripada sebuah perahu ke dalam kereta berdekatan pangkalan haram Jitong di tebing Sungai Golok.

Beliau berkata, menyedari kehadiran anggota PGA, suspek yang berumur 27 tahun itu bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan dan cuba merempuh beberapa anggota PGA yang cuba menghalangnya.

"Anggota PGA terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang sebelah pemandu kenderaan itu sebelum suspek berjaya ditahan di Kampung Bukit Lata," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek membawa kepada penemuan 69 kotak berisi ayam sejuk beku yang disyaki diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan, dan suspek didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kereta dan ayam sejuk beku adalah bernilai RM25,350 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.- Bernama