Terbuka Indonesia: Zii Jia akui kecewa kualiti permainan

Zii Jia - Foto BAM
Zii Jia - Foto BAM
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melepasi halangan pertama Terbuka Indonesia 2022 selepas menyingkirkan pemain dari Thailand, Sitthikom Thammasin di Stadium Istora Senayan pada Selasa.

Pemain berusia 24 tahun yang turun selaku pilihan keenam memerlukan 41 minit sebelum menjinakkan pemain bukan pilihan itu 21-15, 21-14 untuk berdepan pemain dari India, Sameer Verma di pusingan kedua yang menewaskan Thomas Rouxel dari Perancis 21-19, 21-15

Zii Jia yang menduduki ranking kelima dunia bagaimanapun kecewa dengan kualiti permainan ditampilkannya pada perlawanan itu.

"Saya tidak berpuas hati 100 peratus, perlu mengurangkan kesilapan mudah dan meningkatkan tahap fokus,” katanya pada Selasa.

Juara Kejohanan Badminton Asia 2022 yang masih dibayangi kekalahan kepada pemain tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting di suku akhir Masters Indonesia pada Jumaat lalu bagaimanapun berharap dapat mencipta keputusan lebih baik kali ini.

"Memandangkan ia adalah kejohanan berturut-turut, saya rasa kebanyakan pemain agak letih. Saya fikir segalanya mengenai mental dan fokus untuk bertahan lebih lama dalam kejohanan. Itulah cabarannya,” katanya. - Bernama