Rasuah: CEO syarikat rangkaian telekomunikasi direman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lebih RM200,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lelaki itu dikatakan telah meminta dan menerima wang rasuah dari sebuah syarikat sebagai dorongan memberikan kerja berkaitan projek kejuruteraan pembinaan dan pembaikan menara telekomunikasi berjumlah hampir RM50 juta.

Dia ditahan di Pejabat SPRM Selangor, di sini, kira-kira 8 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Sementara itu, Mohamad Redza turut membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman seorang pegawai kanan penguatkuasa serta seorang ahli perniagaan wanita selama empat dan dua hari, bermula hari ini.

Menurut sumber, pegawai kanan penguat kuasa itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM200,000 daripada beberapa individu yang menggaji pekerja asing secara tidak sah sebagai balasan untuk memudahkan permohonan berkaitan pas pekerja asing.

Ahli perniagaan wanita tersebut pula disiasat kerana dikatakan bersubahat bersama pegawai kanan tersebut.

Mereka masing-masing ditahan pihak SPRM semalam pada 7.40 dan 7.45 malam dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. - Bernama