Melombong lantanid jejas alam sekitar

Meor Razak menunjukkan imej yang diperolehi menerusi dron milik Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Malaysia di tapak lombong di Hulu Perak.
Meor Razak menunjukkan imej yang diperolehi menerusi dron milik Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Malaysia di tapak lombong di Hulu Perak.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak diminta untuk mengkaji semula pelaksanaan projek melombong nadir bumi lantanid di kawasan Hulu Perak berikutan kesannya kepada alam sekitar serta menimbulkan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kawasan perlombongan seluas lebih 2,000 hektar itu terletak dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

"Projek ini juga terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau yang menjadi habitat kepada hidupan liar terancam termasuk harimau, gajah, beruang matahari dan tapir.

"Projek ini akan menyebabkan kemusnahan kekal habitat di kawasan itu. Oleh itu, projek ini perlu dikaji semula atau lebih baik dibatalkan sahaja," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Menurutnya, tinjauan pihaknya mendapati sekurang-kurangnya 100 hektar atau lima peratus keluasan hutan itu telah pun dibersihkan.

Meor Razak (tiga dari kanan) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membantah pelaksanaan projek melombong lantanid di kawasan CFS.
Meor Razak (tiga dari kanan) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membantah pelaksanaan projek melombong lantanid di kawasan CFS.

"Luas keseluruhan Central Forest Spine (CFS) adalah 15,307 hektar dan 2,161 hektar daripadanya untuk perlombongan lantanid sedangkan kawasan itu merupakan habitat kepada haiwan liar di sana.

"Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) telah dipamerkan kepada umum pada Julai 2021 sebelum mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 11 Mei lalu.

"Namun kerja-kerja pembersihan hutan telah dimulakan di tapak lebih setahun sebelum diluluskan," katanya.

Meor Razak berkata, kelulusan terhadap projek itu tidak mengikut kepada Rancangan Fizikal Negara yang mana struktur itu tidak boleh dibina sebelum EIA diluluskan.

Media melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan sudah memberi 'lampu hijau' kepada aktiviti perlombongan lantanid di kawasan tersebut.

Katanya, paparan imej satelit yang dikongsi adalah struktur lama yang melibatkan kerja-kerja awalan seperti membuat jalan dan tadahan kolam untuk bijih timah.

Aktiviti melombong bijih timah itu bagaimanapun telah dihentikan berikutan penemuan mineral baharu itu.