Lelaki lari dari pemeriksaan polis diberkas

Keadaan kereta yang rosak teruk selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Pekan Sungai Lalang, Sungai Petani pada Selasa.
Keadaan kereta yang rosak teruk selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Pekan Sungai Lalang, Sungai Petani pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua". Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan terhadap tindakan seorang lelaki yang melarikan diri dari pemeriksaan polis, namun berjaya ditahan selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan bersama dadah jenis heroin dan syabu yang ditemui dalam kenderaan jenis Proton Satria dipandunya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang Selasa itu, suspek telah melarikan diri dari pemeriksaan polis ketika sampai berdekatan sebuah stesen minyak di Bedong dan bertindak meneruskan perjalanan menghala ke arah Sungai Lalang.

"Lelaki terbabit dipercayai membelok ke arah pekan Sungai Lalang secara melawan arus ketika dikejar kenderaan MPV polis sehingga menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan empat kenderaan lain.

"Suspek akhirnya berjaya ditahan ketika cubaan melarikan diri dan pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek menemui sebilah parang, tiga peket plastik disyaki berisi dadah jenis syabu dan dua peket plastik disyaki dadah jenis heroin," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan 1958, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.