Pasangan kekasih dicekup curi kosmetik

Suffian Sulaiman
Suffian Sulaiman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sepasang kekasih dicekup selepas disyaki mencuri pelbagai barang kosmetik bernilai RM150 di sebuah kedai rantaian kesihatan dan kecantikan di Paya Bunga (PB) Square, di sini, Selasa lalu.

Kejadian itu hanya disedari pengurus bertugas selepas memerhati gelagat pasangan berkenaan masuk ke premis, kira-kira jam 7 malam.

Menurut sumber, tindak tanduk pasangan tersebut yang masuk ke dalam premis dan selang beberapa minit kemudian keluar tanpa membeli apa-apa barang telah mengundang curiga pengurus terbabit.

"Tanpa membuang masa, dia terus membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati kedua-dua mereka mencuri dua botol pencuci mekap, dua botol kosmetik, sebotol deodoran dan sebotol pewangi.

"Kesemua barang tersebut dimasukkan ke dalam beg tangan yang dibawa sebelum pengurus itu mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada hari yang sama," katanya.

Susulan laporan, kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu, polis berjaya menangkap pasangan tersebut yang masing-masing berusia 22 dan 23 tahun dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz berwarna putih di tepi jalan Sultan Mahmud, di sini.

Pemeriksaan ke atas kereta tersebut berjaya menjumpai plastik putih mengandungi barang-barang dilaporkan hilang dari premis berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan tangkapan suspek.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda.