Negeri Sembilan rekod 5,110 kes HFMD

Negeri Sembilan merekodkan 5,110 kes penyakit HFMD sehingga Isnin. - Gambar hiasan
Negeri Sembilan merekodkan 5,110 kes penyakit HFMD sehingga Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan merekodkan 5,110 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sehingga Isnin.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kumulatif kes pada minggu Epid 23 yang berakhir pada 11 Jun adalah 895 kes iaitu penurunan tiga peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Daerah Seremban mencatatkan jumlah kes HFMD paling tinggi iaitu 2,870 kes, diikuti Port Dickson (615 kes) dan Jempol (593 kes).

"Rembau pula merekodkan 417 kes, diikuti Tampin (240 kes), Kuala Pilah (217 kes) dan Jelebu (158 kes)," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Menurutnya, kumulatif wabak HFMD di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah 50 wabak, namun tiada wabak yang aktif.

Ujarnya, daripada 50 wabak itu, 34 wabak atau 68 peratus melibatkan tadika atau taska dan perintah penutupan telah diberikan.

"Namun tiada taska atau tadika yang masih ditutup," katanya.