Lelaki mengaku menyamar pegawai KPDNHEP

Muhammad Faizal hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan kes menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan menipu seorang pengusaha pembekalan gas, sembilan tahun lalu.
Muhammad Faizal hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan kes menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan menipu seorang pengusaha pembekalan gas, sembilan tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan pilihan, menyamar sebagai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menipu RM3,000 daripada seorang pemilik syarikat pembekalan gas, sembilan tahun lalu.

Muhammad Faizal Abdul Hakil, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 15 Ogos depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi individu yang telah didakwa, telah menipu pemilik syarikat pembekalan gas berusia 48 tahun dengan menyamar sebagai pegawai KPDNHEP.

Penyamaran itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM3,000, yang mana dia tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan dilakukan di sebuah stesen minyak di Kota Damansara, pada 6 April 2013 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noryusriza Zulkifli dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PsK Mohd Aliff Saharuzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.