PRU15: Bekas Ahli Parlimen Sipitang mahu buat kemunculan semula

Sapawi
Sapawi
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad tidak menolak jika dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang bagi kerusi Parlimen yang disandangnya sebelum ini.

Menurutnya, ketika ini beliau masih aktif dalam politik dan merupakan ahli UMNO Bahagian Sipitang.

"Saya bukan bersara, saya masih ahli politik dan ahli parti. Saya tidak 'melompat' (beralih parti), saya masih dalam UMNO, Barisan Nasional (BN).

"Pertimbangan besar akan difikirkan (bertanding semula jika dicalonkan), tetapi terus terang memang dari dulu saya bukan pelobi. Kalau saya pelobi mungkin saya sudah jadi menteri," katanya ketika sidang akhbar di Kapayan di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika ingin membuat kemunculan semula selepas berehat selama dua penggal sebelum ini.

Sapawi berkata, sebelum ini beliau hanya memberi peluang kepada golongan muda untuk bertanding susulan keadaan politik semasa ketika itu.

"Saya tidak melompat cuma saya bagi ruang kepada timbalan saya ketika itu. Dalam keadaan suasana politik semasa, yang sebenarnya perlu dilihat secara menyeluruh dan kebetulan di Sipitang ketika itu yang bertanding ialah orang muda.

"Jadi saya rasa bagi peluang kepada mereka dan kita perhati, beri pandangan serta nasihat kalau mereka memerlukannya," katanya.

Sebelum itu, kerusi Parlimen Sipitang dilihat bakal menjadi rebutan berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob sedia untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.

Ketika ini, kerusi itu disandang oleh Timbalan Menteri Kewangan II yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Yamani Hafez Musa dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).