‘Usah bersekongkol’

Tindakan pihak berkuasa bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah akan jejas reputasi negara. Gambar kecil: Shaharom Nizam.
Tindakan pihak berkuasa bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah akan jejas reputasi negara. Gambar kecil: Shaharom Nizam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa mahupun warga tempatan diingatkan untuk tidak sama sekali bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah bagi mengelak tindakan undang-undang.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, penerimaan rasuah melibatkan sindiket dadah adalah isu besar yang memberi kesan buruk kepada reputasi negara.

Menurut beliau, SPRM ambil tahu bahawa pasaran dadah seperti ganja adalah besar terutama susulan pendirian kerajaan Thailand yang membenarkan rakyatnya menanam ganja di rumah.

“Kemungkinan penyeludupan dadah jenis ganja meningkat apatah lagi hukuman mati mandatori dimansuhkan kelak.

“Kami (SPRM) memandang serius isu rasuah dan berharap pihak berkuasa lain ambil tindakan drastik kekang kemasukan barang terlarang itu ke negara ini.

“Kita juga memandang berat sekiranya mendapati ada pembabitan pihak berkuasa mahupun warga tempatan yang bersekongkol atau menerima rasuah daripada sindiket dadah.

“Kita akan ambil tindakan tegas mengikut Akta SPRM 2009 dan undang-undang yang termaktub di bawah kuasa SPRM,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa bersekongkol dengan sindiket atau aktiviti penyeludupan dadah ke negara ini akan memberikan reputasi yang buruk kepada agensi terbabit biarpun yang terlibat hanyalah dalam jumlah kecil.

“Orang luar akan pandang Malaysia telah gagal mengawal rasuah hingga mengakibatkan pelabur memberi persepsi negatif,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa mana-mana individu untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut.

Pada Khamis, Thailand menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Susulan itu, kerajaan negara itu mengeluarkan bahagian tertentu dan ekstrak tumbuhan ganja (kecuali bunga dan perbungaan) daripada senarai narkotik terkawal Kategori 5, di bawah Akta Narkotik 1979, supaya boleh digunakan bagi tujuan perubatan.Bagaimanapun, penggunaan marijuana yang juga dikenali sebagai ganja dan kanabis, secara rekreasi masih diharamkan.