'Tidak wajar manipulasi golongan B40 untuk elak PRU15'

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasikan golongan berpendapatan rendah (B40) dalam percaturan politik ekoran khuatir perlu berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai tidak wajar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU15 bertujuan untuk memulangkan hak dan mandat kepada rakyat termasuk golongan B40 dalam mengembalikan kestabilan politik di negara ini.

"Kestabilan politik amat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat yang sedang berusaha bangkit daripada impak pandemik.

"Bagaimanapun sesudah PRU14, jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini dilaporkan melebar pada 2019 buat kali pertama sejak 2014," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menjelaskan, istilah dan takrifan kelas pendapatan isi rumah B40 dan M40 mula diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, B40 ialah golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah manakala M40 dikategorikan golongan isi rumah berpendapatan pertengahan.

"Pengkelasan ini yang membolehkan kerajaan merancang dan merangka dasar serta program secara efisien dan ‘accurate’ untuk rakyat.

"Bagaimanapun definisi B40 dan M40 tidak ‘rigid’, sebaliknya akan diperincikan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan semasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Pengerusi BN itu berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pimpinan BN tidak peduli nasib B40 hanya kerana mengusulkan PRU15 diadakan segera adalah tidak benar.

Ini kerana katanya, sudah terbukti pendekatan BN yang memiliki ‘enthusiasm’ untuk membela rakyat kebanyakan dan bukan kroni.

“Sebelum pengkelasan itu, Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Penengah telah meningkat 105 peratus dari RM2,552 pada akhir 2007 kepada RM5,228 pada akhir 2016.

"Pendapatan penduduk luar bandar di bawah kerajaan BN bertambah 103 peratus iaitu lebih tinggi dari kadar peningkatan 86 peratus untuk penghuni dalam bandar.

"Dalam masa yang sama kos sara hidup masih berada pada paras yang stabil bersesuaian dengan kemampuan majoriti rakyat," katanya.