Tuduhan Muhammad Sanusi terhadap Zahid amat berat: Shahril

Catatan Facebook Shahril Sufian pada Ahad.
Catatan Facebook Shahril Sufian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyelar dakwaan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera kerana takut dipenjarakan.

Beliau berkata, tuduhan yang dibuat Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah terhadap Ahmad Zahid bukan sahaja berat, malah tidak wajar sama sekali.

Ini kerana katanya, Ahmad Zahid tidak mendesak PRU15 diadakan segera, sebaliknya meminta ia tidak diadakan terlalu lewat atas pertimbangan strategik untuk parti dan negara.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau hendak parti menang dan hendak Malaysia mendapat manfaat dari keadaan politik yang lebih stabil tanpa persoalan PRU membayangi. Apapun, soal ini akan dibincangkan oleh top 5 parti. Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman UMNO.

“Bila sahaja PRU berlangsung dan jika BN menang, apa yang cuba Datuk Seri Sanusi katakan? Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran? Kalau itu tuduhannya, sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada Datuk Seri (Ahmad) Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’ yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.

Muhammad Sanusi memberi respons itu bagi ‘membalas’ kenyataan yang dibuat Ahmad Zahid pada hari sama bahawa Pas tidak berminat untuk mengadakan PRU15 awal kerana bimbang kehilangan 18 kerusi yang dimiliki parti itu ketika ini.

Mengulas lanjut, Shahril Sufian berkata, suara yang mahukan PRU15 dan mandat baharu adalah dalam kalangan ahli parti dan rakyat, yang mana mereka tidak mempunyai sebarang kes mahkamah.

“Sekarang pun, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dari UMNO. Berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?,” ujarnya.