Lebih baik main Liga-M

No Image Caption
A
A
A

“BAIK main di Malaysia, daripada berkelana luar negara tapi tidak dapat minit permainan.” Itu saranan bekas pengendali pasukan kebangsaan, B Sathianathan kepada dua penyerang skuad Bawah 23 tahun (B-23) Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang kini bersama kelab Belgium, KV Kortrijk serta kelab Jepun, Azul Claro.

Malah, menurut Sathianathan, kembali beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) dengan pasukan yang sesuai merupakan pilihan terbaik pada masa kini dalam usaha memulihkan prestasi kedua-dua pemain tersebut.

Tegas Sathianathan, ia juga merupakan satu kerugian besar kepada perkembangan bakat kedua-duanya sekiranya masih bergelut untuk mendapatkan minit permainan, selain sukar mendapat tempat dalam pasukan utama masing-masing.

“Saya tidak nampak apa fungsi mereka masih kekal berada di luar negara tapi jarang bermain untuk pasukan utama. Lebih baik balik ke Malaysia bermain dengan pasukan Liga Super.

“Di Malaysia bukan tiada pasukan bagus seperti JDT yang berjaya main di Liga Juara-Juara Asia. Kalau tidak dapat bermain dengan JDT, ada juga pasukan hebat lain seperti Selangor, Kedah dan Terengganu.

“Cuba lihat pemain seperti Mukhairi Ajmal dan Arif Aiman Hanapi, mereka hebat pada usia muda sebab bermain dengan pasukan yang lebih senior dan dapat pendedahan.

“Sebab bagi saya, sayang kalau mereka masih tidak menyedari perkara ini. Kedua-dua pemain itu masih ada potensi dan kualiti menjadi lebih hebat pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Prestasi Luqman dan Hadi Fayyadh yang masih 'berguru' di luar negara menjadi bualan para peminat apabila gagal beraksi dengan baik pada Sukan SEA Hanoi 2021 dan kejuaraan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini.

Malah, terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan keberadaan kedua-duanya di luar negara memandangkan para pemain yang ketika ini beraksi Liga-M mampu mempamerkan aksi lebih positif berbanding mereka.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu juga meminta peminat supaya tidak mengecam Luqman dan Hadi Fayyadh sekiranya kedua-duanya berhasrat kembali bermain di Liga-M pada masa depan.

Sebaliknya, jelas Sathianathan, Luqman dan Hadi Fayyadh perlu sentiasa diberikan sokongan supaya dapat memperbaiki persembahan masing-masing selepas ini.

“Saya ingat kalau kedua-dua mereka ini balik Malaysia, kita janganlah kutuk kata mereka tak tahan bermain di luar negara. Itu harus ditolak tepi kerana bakal memberi kesan kepada mental mereka.

“Jadi kalau mereka pulang, kita sokong tindakan mereka, jangan kecam atau letak harapan terlalu tinggi. Biar mereka lalukan dengan cara tersendiri kerana mereka masih muda dan banyak benda perlu dipelajari sebelum mampu untuk jadi pemain yang hebat,” katanya.